Pemain kacukan Malaysia, Jez Bedford telah mengumumkan perpisahan bersama kelab England.
Tonggak berusia 26 tahun itu beraksi buat Wimborne Town FC namun mengumumkan perpisahan selepas 4 musim bersama pasukan tersebut.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam kancah bola sepak Eropah selepas pernah bersama Akademi Portsmouth dan kemudiannya membawa haluan baharu bersama Poole Town.
Jez Bedford dalam satu kenyataan di laman sosial mengumumkan perpisahan yang amat menyedihkan dan menghargai setiap detik beraksi di sana.
“Selepas empat musim yang tidak dapat dilupakan, masa saya di kelab telah berakhir.
“Saya telah memberikan segalanya setiap kali saya menyarung jersi, dan saya berbangga untuk mewakili kelab ini melalui suka dan duka. Kemuncaknya ialah memenangi liga dan sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman X.
Bedford juga mengakui ini merupakan satu keputusan yang sukar dalam kariernya untuk meninggalkan Wimborne Town.
“Akan tetapi, di sebalik pingat dan perlawanan, ia adalah orang-orang di kelab yang paling saya rindui.
“Saya telah berkawan seumur hidup, berkongsi bilik persalinan dengan beberapa pemain terkemuka, dan disokong oleh peminat hebat. Amat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal, terutamanya seperti ini, tetapi saya akan sentiasa bersyukur,” tambahnya.
Laporan daripada Harimau Abroad mendakwa bahawa pemain tengah versatil ini memiliki pertalian darah dengan Malaysia dari belah ibunya.