Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menganggap pemain-pemain kendaliannya memerlukan tonik yang luar biasa untuk kembali kepada prestasi yang sebenar.
Umum sedia maklum mengenai isu tunggakan gaji yang menimpa kem Sang Kenari dan jika ianya dapat diselesaikan segera, Nafuzi percaya ianya merupakan tonik yang luar biasa buat pemain.
“Semangat pemain tidak luntur setakat ini tetapi memerlukan tonik yang luar biasa. Tonik yang luar biasa tu semua sedia maklumlah,” jelas Nafuzi dalam sidang media yang dikongsikan KDA FC selepas aksi Liga Super bertemu PDRM FC pada Jumaat.
Mengulas mengenai aksi bertemu PDRM, Nafuzi bangga dengan apa yang ditampilkan anak buahnya kerana bagi beliau satu mata itu adalah berharga jika berbanding pulang tanpa sebarang mata.
“Untuk perlawanan malam ini (bertemu PDRM), mungkin kita hanya mampu beraksi 45 minit. Apabila separuh masa kedua, pemain betul-betul nampak keletihan.
“Secara keseluruhan, kita bermain dengan baik, bertahan dengan baik. Saya perlu berterima kasih kepada pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi. Satu mata lebih baik dari tiada mata,” katanya lagi.
Pada aksi bertemu PDRM, Jose Cleylton terlebih dahulu meletakkan Kedah dihadapan pada minit ke-29 sebelum PDRM menyamakan kedudukan menerusi penyudah Aremu Timothy pada babak kedua.
Kedah dijadualkan bertemu Sabah FC pada 29 Oktober di Stadium Likas dan ianya dijangka satu perlawanan yang menarik untuk disaksikan lebih-lebih lagi Kedah kini sedang bergelut di zon bawahan liga.
Kedah kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 13 mata selepas 12 perlawanan yang telah diharungi.