Pemain Kegemaran Petar Šegrt Tidak Lagi Perkuat Malaysia

Sumareh Malaysia Pemain Kegemaran Petar Šegrt Tidak Lagi Perkuat Malaysia
FF Tajikistan & FA Malaysia
Azri Haziq @azrihazq
7:45pm 16/10/2023

Ketua jurulatih Tajikistan, Petar Šegrt tidak akan melihat pemain Malaysia kegemarannya iaitu Muhamadou Sumareh untuk beraksi menentang pasukannya. 

Malaysia dijadualkan berdepan Tajikistan pada esok di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi aksi final kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023. 

Pada kejohanan Kings Cup edisi tahun lalu di Thailand, Malaysia tewas kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti. Ketika itu, persembahan pemain sayap kebangsaan, Muhamadou Sumareh telah mencuri tumpuan ramai dan mendapat perhatian Petar Segrt. 

Ketika ditemu bual MakanBola, Petar Segrt akui beliau suka melihat cara permainan Sumareh di atas padang. Beliau memuji watak dan karakter yang dipamerkan Sumareh ketika berdepan Tajikistan ketika itu. 

“Saya sangat sukakan pemain bernombor 13 (Sumareh). Beliau merupakan pemain yang sangat berkualiti dari Malaysia,” ujar Petar Segrt. 

Sungguhpun pada aksi final Kings Cup tahun lalu Sumareh hanya beraksi selama 45 minit permainan, impak yang dibawa oleh pemain JDT ini berjaya menambat hati jurulatih dari Croatia itu.

Untuk aksi esok hari, kelibat Sumareh tidak lagi akan kelihatan apabila pemain berusia 29 tahun itu tidak mendapat panggilan kem kebangsaan kali ini. Nama Sumareh hanya diletakkan dalam senarai bersedia skuad Kim Pan-gon.

Malaysia bakal berentap menentang Tajikistan dalam misi meraih gelaran juara Pesta Bola Merdeka pada esok, 17 Oktober 2023. Aksi tersebut bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 9 malam.