Pertahanan Korea Selatan, Park Jin-Seob mendedahkan beliau sengaja mendapatkan kad kuning dalam aksi kedua acara bola sepak Sukan Asia bertemu Thailand semalam.
Park Jin-Seob mahu menerima layangan kad kuning kerana ingin digantung untuk perlawanan seterusnya bertemu Bahrain dan kembali bersih untuk peringkat kalah mati kelak menurut media sukan Korea.
Ini ekoran pemain tersebut sudah mengutip kad kuning dalam perlawanan pertama sewaktu menentang Kuwait tempoh hari.
Park Jin-Seob yang telah mengumpul 2 kad kuning bakal terlepas aksi ketiga peringkat kumpulan dan boleh kembali bermain untuk perlawanan seterusnya setelah Korea Selatan sah layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia.
Pertahanan Jeonbuk Hyundai ini menjadi pemain penting skuad Korea Selatan dibahagian pertahanan malah setakat ini Korea Selatan masih belum dibolosi dalam 2 perlawanan peringkat kumpulan.
Korea Selatan ketika ini menjadi pencabar utama pingat emas Sukan Asia apabila menampilkan aksi hebat menang besar 9-0 ke atas Kuwait dan kemudian menewaskan Thailand 4-0.
Korea Selatan akan menentang Bahrain pada hari Ahad kelak untuk aksi terakhir peringkat kumpulan E acara bola sepak Sukan Asia.