Seorang pemain Korea Selatan difahamkan bakal melengkapkan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pasukan milik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor difahamkan bakal melakukan rombakan besar-besaran menjelang jendela perpindahan kedua.
Pasukan selatan tanah air itu dikaitkan dengan perpindahan beberapa nama besar termasuklah tonggak import dan juga tempatan.
Perkara ini dimaklumkan oleh pemerhati bebas bola sepak Malaysia, Juan Budiman berkenaan beberapa perkembangan import JDT.
“Selepas Natxo & Kiko Insa, jentera pertahanan JDT bakal diperkuatkan dengan seorang lagi pemain warisan berdarah Sepanyol.
“Difahamkan penjaga gol muda ini adalah seorang pemegang pasport Malaysia dan sudah mendarat di selatan tanah air,” jelasnya.
Antara tonggak import yang dikaitkan ke JDT ialah seorang pemain Korea Selatan, dua dari Sepanyol, satu colombia dan satu dari Argentina.
Identiti pemain yang dimaksudkan ini juga masih belum diketahui namun sudah tersebar spekulasi mengenai pemain Korea Selatan yang dimaksudkan itu.
Sebelum ini, SNE Sports melaporkan bahawa bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong bakal memperkuatkan barisan pertahanan Harimau Selatan pada separuh kedua musim 2024/25.
Bek tengah berusia 31 tahun itu ketika ini beraksi untuk kelab Thai League 1, Ratchaburi. Jun-heong membantu kelab itu menamatkan musim di tangga keenam liga.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada JDT dan juga pemain tatkala jendela perpindahan kedua bakal dibuka pada bulan Ogos.