Pemburuan ibu segala pingat dalam Sukan Asia 2023 Hangzhou diteruskan dengan empat negara telah menempah tempat separuh akhir iaitu Jepun, Hong Kong, Uzbekistan dan juara bertahan, Korea Selatan.
Namun begitu, laluan Jepun untuk ke separuh akhir agak berliku apabila mereka terpaksa bergelut sebelum menewaskan Korea Utara 2-1 pada peringkat suku akhir. Kejadian tidak diingini turut berlaku dalam perlawanan tersebut.
Selepas tamat perlawanan, beberapa pemain Korea Utara dilihat cuba menyerang pengadil kerana tidak berpuas hati. Korea Utara hampir mencipta kejutan dalam perlawanan itu apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74 sebelum Jepun dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-80.
Selepas wisel penamat ditiup, pemain Korea Utara mengepung dan mahu bersemuka dengan pengadil perlawanan, Rustam Lutfullin dari Uzbekistan. Selain itu, beberapa orang pemain Korea Utara dilihat cuba menolak pengadil itu.
Dengan kemenangan ke atas Korea Utara, Jepun mara ke separuh akhir dan bakal menentang Hong Kong yang mengejutkan kuasa besar Asia iaitu Iran di suku akhir. Satu lagi aksi separuh akhir menemukan Korea Selatan dan Uzbekistan.
Pada edisi Sukan Asia yang lalu, pingat emas dimenangi Korea Selatan yang menewaskan Jepun di perlawanan akhir. Tempat ketiga menjadi milik UAE yang menewaskan Vietnam.