Pemain Melaka Terima Duit Raya
MakanBola
Melaka FC

Barisan pemain Melaka FC menerima suntikan semangat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ini selepas pengurusan Melaka diketuai presiden, Datuk Wira Dr Nur Azmi Ahmad menyampaikan duit raya kepada barisan pemain dan pegawai dalam satu majlis berbuka puasa.

Majlis tersebut bukan saja bertujuan mengeratkan hubungan antara pemain dan pegawai dengan barisan pengurusan Melaka.

Malah, ini memberi peluang kepada Nur Azmi memberi kata-kata semangat buat pasukan itu untuk baki kempen Liga Super.

“Musim ini adalah medan kita belajar, berjuang dan membuktikan semangat berpasukan. Teruskan berikan yang terbaik hingga wisel penamat, dan jadikan setiap pengalaman sebagai bekalan untuk musim yang lebih gemilang akan datang.

“Jangan pernah berhenti percaya, kerana kejayaan milik mereka yang terus berusaha,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun berada dalam kelompok terbawah liga, pengurusan Melaka sentiasa berusaha menjaga kebajikan pemain dan pegawai pasukan.

Selain duit raya, pengurusan juara Liga A1 Semi-Pro musim 2024/25 itu turut memastikan pembayaran gaji dibuat tepat pada masanya. Fakta ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Melaka terus melakar keputusan positif dengan menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 2-1 baru-baru ini.