Pemain kebangsaan Mali, Moussa Marega bertindak keluar padang, gara-gara di ejek oleh penyokong lawan dalam perlawanan Liga Portugal diantara kelabnya, FC Porto dengan Vitoria SC.
Dalam perlawanan terbabit, FC Porto menang 2-1 ke atas Vitoria SC di tempat lawan. Namun, kemenangan itu nampak tidak menarik apabila Moussa bertindak keluar padang ketika perlawanan sedang memasuki minit ke 70.
Para penyokong kelab Vitoria SC mengejek beliau menerusi nyanyian dan menyebabkan Moussa bertindak keluar padang walaupun tindakannya itu cuba dihalang oleh rakan sepasukannya dan juga oleh pemain lawan serta termasuklah pengurus pasukannya, Sergio Cencao.
Sergio Cencao turut dilihat memarahi para penyokong yang sedang mengejek dan cuba menenangkan Moussa, namun Moussa tetap bertindak keluar padang sambil menunjukkan isyarat tangan seperti ‘boo’ ke arah penyokong lawan.
Menurut pengendali Porto itu lagi, Moussa telah diganggu oleh penyokong lawan sebelum perlawanan bermula ketika para pemain Porto sedang membuat sesi pemanas badan.
Kejadian ini sangat memalukan sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri Portugal, António Costa yang menyifatkan perbuatan perkauman itu sebagai ‘jenayah dan tidak bertoleransi’, malah beliau menyatakan solidariti untuk Moussa.
Moussa berjaya membantu Porto mendapatkan tiga mata hasil jaringannya untuk kemenangan 2-1, biarpun selepas itu menjadi kontroversi susulan kata-kata perkauman yang berlaku.