Industri bola sepak Kemboja dikejutkan dengan satu berita kemalangan maut yang melibatkan pertahanan kebangsaan, Tes Sambath pada Ahad.
Tes Sambath, tonggak kebangsaan Kemboja yang ketika ini beraksi untuk Visakha FC telah meninggal dunia dalam satu tragedi kemalangana pada Ahad, 20 April di sebelah malam.
Menurut laporan media tempatan, Phnom Penh Post, beliau dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikalnya sebelum terjatuh ke dalam sungai dan lemas yang menjadi punca kematiannya
Kejadian berlaku di Kampung Kamraeng, Mukim Sak Sampov, Daerah Dangkor, Phnom Penh berdasarkan laporan awal oleh penduduk sekitar yang menyaksikan kemalangan tersebut.
Visakha FC secara rasmi mengumumkan pemergian beliau pada jam 12.16 tengah hari Isnin, mengesahkan bahawa Sambath meninggal dunia sekitar jam 10.30 malam. Beliau baru berusia 25 tahun.
“Bagi pihak pengurusan, kakitangan dan semua pemain Visakha FC, kami amat terkejut dan berdukacita dengan berita pemergian Tes Sambath,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.
“Kehilangan seorang bakat penting dalam bola sepak Kemboja ini sangat dirasai oleh semua.”
“Kami mengucapkan takziah yang tulus kepada keluarga Sambath dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan tenang di alam abadi,” tambah kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, Sambath telah memperoleh 13 kaps bersama pasukan kebangsaan Kemboja sejak tahun 2021 dan pernah beraksi menentang Malaysia di Bukit Jalil pada tahun 2022.