Pemain tengah menyerang, Paulo Josue menganggap Malaysia bersedia untuk terus bersaing di tahap tertinggi bertemu pasukan-pasukan kuat seperti di Piala Asia yang lalu.
Paulo Josue bagaimanapun mahu fokus dalam aksi menentang Oman terlebih dahulu untuk mencerahkan laluan Malaysia untuk ke peringkat seterusnya.
Jika Malaysia mampu melayakkan diri ke peringkat yang lebih tinggi, skuad kebangsaan berpeluang untuk bertemu dengan pasukan lebih hebat untuk terus mencabar kemampuan sebenar pasukan Harimau Malaya.
“Saya gembira dapat berada disini bersama pemain-pemain lain. Saya rindukan keluarga tetapi saya gembira menerima panggilan kebangsaan. Inilah pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk negara kita.”
“Aksi menentang Oman amat penting bagi Malaysia kerana jika kita raih 3 mata, kita hampir selangkah ke peringkat seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia. Jika mereka datang ke sini dan kita sekali lagi berjaya menang, kita akan layak ke peringkat seterusnya.”
“Jika layak kita akan bertemu lagi dengan pasukan kuat di Asia seperti Korea, Jepun dan lain-lain. Jadi itu penting buat Malaysia terus berada dalam kejohanan ini untuk bermain dalam aksi yang sukar.” ujar Paulo Josue.
“Kita harus sentiasa bersedia dan berikan 100% untuk pasukan sebegitu seperti apa yang kita pamerkan sewaktu menentang Korea Selatan dalam Piala Asia tempoh hari.”
“Saya rasa ini peluang terbaik untuk buktikan kemampuan Malaysia namun kita harus dapatkan keputusan positif terlebih dahulu (menentang Oman) untuk menentang pasukan-pasukan hebat.” tambahnya.
Malaysia kini mengumpul 6 mata dalam kumpulan D setelah berjaya menewaskan Taiwan dan Kyrgyzstan tempoh hari dan kini akan bertemu cabaran Oman pada 22 Mac dan 26 Mac ini.