Selepas meninggalkan Sri Pahang musim lalu, bekas pemain Sri Pahang, Kevin Ingreso dikhabarkan telah mendarat ke satu kelab di Filipina iaitu One Taguig FC bagi saingan Liga Filipina musim ini.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini dikatakan bakal berhijrah ke Thailand, namun berita itu tidak tepat kerana beliau sudahpun mendarat ke negara kelahirannya semula.
Perkara ini diketahui daripada Transfermarkt yang mana Ingreso direkodkan telah memperkuat One Taguig FC satu kelab daripada Filipina.
Pemain kelahiran Filipina ini pernah mewakili pasukan daripada Malaysia iaitu Sri Pahang pada tahun 2022 sehingga 2024 dan beliau telah merekodkan 21 penampilan bersama Sri Pahang FC dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Tempoh tersebut menyaksikan Ingreso menjaringkan dua gol dan mencipta lima bantuan gol untuk skuad Tok Gajah.
Difahamkan daripada laman sosial Instagram the19studio Kevin Ingreso telah memperoleh gelaran ‘Man of the Match’ selepas mendominasi bahagian tengah dalam kemenangan pembukaan musim One Taguig FC ke atas Manila Montet FC dengan keputusan 4-1 pada 7 April yang lalu bertempat di Stadium Memorial Rizal.
Itu merupakan penampilan pertama beliau bersama pasukan One Taguig FC dan Ingreso juga diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai kapten pasukan menentang Manila Montet FC baru-baru ini.