Pemain Taiwan Sedia Berkorban Demi Kalahkan Malaysia

Chen Po liang CTFA Pemain Taiwan Sedia Berkorban Demi Kalahkan Malaysia
CTFA
Azim Noor @mohdazim45
8:28am 21/11/2023

Pemain tengah berpengalaman Taiwan, Chen Po-liang bersedia beraksi di mana-mana posisi termasuk penjaga gol bagi membantu negara itu mengalahkan Malaysia.

Sentimen itu dinyatakan beliau dalam sidang media pra-perlawanan Taiwan-Malaysia semalam.

Bagi Po-liang, beliau tidak kisah beraksi di mana-mana posisi yang dimahukan jurulatih The Blue Wings, Gary White untuk perlawanan hari ini.

Ini kerana yang penting pada akhirnya, Taiwan dapat merekodkan kemenangan sulung dalam Kumpulan D dan meneruskan rekod tanpa kalah mereka ke atas Harimau Malaya.

“Jika jurulatih perlukan saya di mana-mana bahagian, saya akan berada di bahagian itu untuk memberi kekuatan kepada Taiwan. Kalau Taiwan memerlukan saya sebagai penjaga gol, saya akan melakukannya.

“Perkara paling penting ialah perlawanan esok. Kita akan bekerjasama untuk memenangi perlawanan di hadapan 10,000 penyokong penyokong dan rakan-rakan (sepasukan),” katanya seperti disiarkan di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Chinese Taipei (CTFA).

Sekiranya Po-liang diturunkan White untuk perlawanan hari ini, beliau bakal membuat penampilan ke-81 bersama Taiwan.

Ini menjadikan beliau pemegang rekod untuk penampilan terbanyak bersama negara Asia Timur itu.

The Blue Wings dan Harimau Malaya bakal beradu untuk aksi kedua Kumpulan D di Stadium Perbandaran Taipei hari ini.