Setelah dilihat berjaya menarik perhatian penyokong tegar Thailand dengan membawa masuk pemain sayap naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Thailand iaitu Benjamin Tan berjanji akan membawa lebih ramai bintang Asean ke Thailand.
Menurut Benjamin, kehadiran bintang-bintang Asean mampu meningkatkan nilai komersil dan juga hak penyiaran Liga Thailand. Beliau juga berharap dapat menarik minat syarikat-syarikat daripada Malaysia untuk membuat penajaan di liga Thai serta melihat lebih lebih ramai pemain Malaysia berhijrah ke sana.
Bercakap kepada Astro Arena, Benjamin juga berasa teruja dengan kehadiran Sumareh kerana ia merupakan strateginya untuk melihat Liga Thai sebagai destinasi utama untuk pemain-pemain Asean.

Musim ini menyaksikan terdapat tiga orang pemain Malaysia yang beraksi di Liga Thai iaitu Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United), Dominic Tan dan Sumareh (Police Tero).