Satu gol jarak jauh yang dijaringkan dalam aksi liga Thailand semalam telah dicanang sebagai calon Anugerah Puskas 2024.
Penyerang veteran Brazil yang mewakili Chiangrai United, Bill Rosimar atau Bill mencetuskan keributan dengan menjaringkan gol dari kawasan garis bulatan padang.
Gol tersebut dijaringkan dalam perlawanan terbaru Thai League 1 membabitkan Chiangrai dan Port FC yang berlangsung pada malam semalam.
Sebaik menyedari penjaga gol Port, Somporn Yos berada di luar gawangnya, Bill melepaskan rembatan jarak jauh ke arah gawang pelawat.
Somporn cuba mengejar mendapatkan bola tetapi beliau tidak sempat dengan bola sudah menerjah jaring.
Port bernasib baik meraih gol penyamaan pada minit ke-78 menerusi bek tengah Iraq, Frans Putros. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Walaupun seri, ramai penyokong kedua-dua pasukan menganggap gol tersebut patut dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2024.
Persembahan Bill turut diiktiraf oleh Sofascore yang memberi markah 7.3 mata atas usahanya mengepalai jentera serangan Chiangrai.