Jaguh beregu campuran China, Huang Dongping terkejut apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana memilih menyalin pakaian.
Dongping, 30, berbuat demikian kerana pakaiannya terkena darah haid ketika aksi final Sudirman Cup 2025. Beliau dan rakan gandingannya, Feng Yanzhe turun menentang beregu campuran Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung.
Selepas mendapat izin daripada pengadil perlawanan, Dongping menyalin pakaian di tandas terlebih dahulu sebelum kembali ke gelanggang.
Pemenang China Masters 2024 itu kemudiannya terkejut apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil. Insiden itu berlaku pada permulaan set penentuan aksi kedua-dua beregu itu.
“Saya terpaksa pergi ke bilik air dan menyalin pakaian kerana saya mengalami haid,” katanya seperti yang dilaporkan CGTN Sports.
“Saya telah memaklumkan kepada pengadil sebelum itu dan mendapat kebenarannya. Tetapi apabila saya kembali, saya dilayangkan kad merah.”
Kad merah dalam sukan badminton biasanya diberi bagi kesalahan serius mengikut budi bicara pengadil. Apabila itu berlaku, lawan akan mendapat mata percuma.
Insiden itu tidak menggugat fokus Dongping dan Yanzhe. Mereka kemudiannya menewaskan Seung-jae-Yu-jung dengan keputusan 21-16, 17-21, 21-16.
Kemenangan itu membuka ruang buat China meraih kemenangan 3-1 di pentas final Sudirman Cup. Ini kejayaan ke-14 China dalam kejohanan itu.