Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend melihat kehadiran pemain warisan sebagai salah satu strategi memperkuatkan pasukan itu.
Pandangan itu disuarakan beliau dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Bekas penyerang Kanada itu melihat kehadiran pemain warisan dilihat menambah kekuatan Harimau Malaya terutama dari segi pilihan pemain.
Friend turut melihat pemain warisan baharu mampu menyuntik motivasi dalam kalangan pemain negara untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Mereka bukan solusi tetapi sebahagian daripada strategi. Macam pemain antarabangsa yang baru tiba, mereka memerlukan proses untuk memahami budaya dan pasukan,” katanya.
“Mereka bukan jawapan kepada segala-galanya tetapi mereka sudah tentu menambah kekuatan skuad. Saya fikir mereka membawa mentaliti berbeza dan harapnya memberi motivasi kepada pemain Malaysia bahawa pemain baru tiba dalam skuad dan akan bersaing di posisi mereka.
“Harapnya itu akan menaikkan tahap (pemain) dalam latihan. Semua ini positif tetapi ia bukan jawapan kepada isu bola sepak di Malaysia.”
Friend turut melihat pemain-pemain warisan baharu ini cukup teruja kerana dapat mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sudah tentu kami teruja melihat mereka memperkuatkan skuad dan mereka komited kerana mereka rakyat Malaysia,” tambahnya.
“Saya fikir itu sesuatu yang penting buat Peter (Cklamovski), saya dan pasukan bahawa mereka komited bermain untuk negara ini, itu yang paling penting.
“Mereka mahu memakai jersi (Harimau Malaya) ini dan mewakili negara ini. Mereka membawa mentaliti dan profesionalisme dalam bola sepak Malaysia.”
Dua bintang warisan yang bakal menyertai kem Harimau Malaya ialah Jon Irazabal dan Hector Hevel.