Jendela perpindahan pada musim 2021/2022 menyaksikan beberapa kelab besar telah berbelanja besar bagi membawa masuk muka baharu dalam usaha memperkuatkan pasukan masing-masing. Kelab di Liga Perdana Inggeris seperti biasa telah mendominasi pembelian pemain dengan harga yang tinggi. Berikut merupakan 5 perpindahan paling mahal bagi musim 2021/2022:
Jack Grealish (Manchester City)

Pemain kebangsaan England ini telah menjadi pemain paling mahal dibawa masuk pada musim ini malah turut mencipta rekod menjadi pemain British paling mahal di Liga Perdana Inggeris. Pemain berusia 25 tahun ini dibeli dari Aston Villa dengan tag harga €117.5 juta.
Grealish telah menjaringkan 1 gol dan mencipta 1 assist dalam 3 penampilan liga musim ini bersama kelab barunya, Manchester City.
Romelu Lukaku (Chelsea)

Bagai sirih pulang ke gagang, itulah perumpamaan yang tepat bagi pemain berusia 28 tahun ini apabila kembali menyertai Chelsea buat kali kedua dengan harga €115 juta. Lukaku sebelum ini pernah menjadi pemain Chelsea namun gagal merebut kesebelasan utama sekali gus menyebabkan beliau menyertai Everton.
Lukaku kemudian menyertai Manchester United dan Inter Milan sebelum akhirnya kembali ke Stamford Bridge. Lukaku tidak menunggu lama apabila berjaya meledak 1 gol dalam debut pertama beliau ketika menentang Arsenal.
Jadon Sancho (Manchester United)

Senario yang berbeza buat Sancho jika dibandingkan dengan Lukaku apabila Sancho memilih untuk menyertai Manchester United pada harga €85 juta dari Borussia Dortmund. Aksi hebat Sancho musim lalu apabila berjaya meledak 16 gol dan mencipta 20 assist menyebabkan United sanggup berbelanja besar buat beliau.
Sancho merupakan bekas pemain Manchester City sebelum beliau menyertai Dortmund dan keputusan beliau kembali ke Manchester untuk menyarung jersi merah ternyata mengejutkan ramai pihak.
Achraf Hakimi (PSG)

Pemain kelahiran Morocco ini menyertai PSG dengan harga €60 juta selepas mempamerkan aksi hebat bersama Inter Milan musim lalu. Pemain pertahanan kanan ini baru sahaja berusia 23 tahun dan telah merekodkan 1 gol dan 2 assist dalam 4 penampilan awal bersama PSG
Ben White (Arsenal)

Arsenal mengejutkan ramai penyokong bola sepak apabila menandatangani Ben White daripada Brighton dengan harga €58.5 juta. Harga yang tinggi ini menyebabkan segelintir penyokong telah membandingkan harga perpindahan Ben White dengan Raphael Varane yang lebih rendah harganya.
Ben White merupakan pemain pertahanan tengah dan berkelahiran England. Status Ben White selaku pemain tempatan England (homegrown player) juga antara punca harga tinggi yang terpaksa Arsenal laburkan buat beliau.
Penutup
Berikut merupakan 5 pemain paling mahal dibawa masuk pada musim panas ini. Antara pemain lain yang berada di kedudukan ke-6 hingga 10 ialah Dayot Upamecano (Bayern Munich, €42.5 juta), Raphael Varane (Manchester United, €40 juta), Tammy Abraham (AS Roma, €40 juta), Ibrahima Konate (Liverpool, €40 juta) dan Emiliano Buendia (Aston Villa, €38.4 juta).