Proses pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya berjalan lancar sejak ia dilancarkan pada 26 Jun lalu.
NTC dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar merangkumi dua fasa dengan kos pembinaan sebanyak RM69 juta.
Fasa pertama membabitkan pembinaan tiga jenis padang iaitu rumput asli jenis Bermuda, rumput hibrid dan rumput tiruan. Padang ini juga bakal dilengkapi sistem lampu limpah, sistem saliran berkualiti, lanskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling padang.
Fasa ini menelan belanja AS$5.2 juta (RM24 juta) menerusi dana yang disalurkan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sementara fasa kedua pula membabitkan pembinaan pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pejabat, surau, bilik persalinan, ruang pemulihan dan bumbung untuk padang tiruan. Fasa ini menelan belanja RM45 juta menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Berdasarkan beberapa imej terbaru yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kerja-kerja pembinaan NTC giat dijalankan.
Ini kerana kedua-dua fasa projek NTC dilaksanakan secara serentak bagi membolehkan ia siap mengikut jadual.
Fasa pertama projek NTC dijangka siap pada Disember 2026. Sementara fasa kedua pula dijangka selesai pada Disember 2027.
Apabila fasa pertama projek NTC siap, ia bakal digunakan oleh semua skuad kebangsaan termasuk Harimau Malaya dan Malaysian Tigress sebagai kem latihan pusat untuk kejohanan-kejohanan antarabangsa.
Ini dilihat sejajar dengan hasrat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang melihat NTC mampu memberi nilai tambah kepada skuad negara.