Advertisement
Pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan Makin Rancak
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Kerja-kerja pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Sejak majlis pecah tanah projek berkenaan pada 26 Jun 2024, kerja-kerja pembinaan NTC berjalan lancar. Ini bagi memastikan dua fasa projek NTC dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Fasa pertama membabitkan pembinaan tiga jenis padang iaitu rumput asli jenis Bermuda, rumput hibrid dan rumput tiruan.

Padang ini juga bakal dilengkapi dengan sistem lampu limpah, sistem saliran berkualiti, lanskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling padang.

Fasa pertama NTC menelan belanja AS$5.2 juta (RM24 juta) menerusi dana yang disalurkan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Fasa kedua NTC pula membabitkan pembinaan pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pejabat, surau, bilik persalinan, ruang pemulihan dan bumbung untuk padang tiruan.

Fasa ini menelan belanja RM45 juta menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuat naik beberapa imej terbaru projek NTC di platform media sosial rasmi mereka. Ini menunjukkan impian FAM untuk memiliki NTC buat skuad kebangsaan perlahan-lahan menjadi kenyataan.

Kedua-dua fasa projek NTC akan berjalan dalam waktu yang sama. Fasa pertama dijangka siap pada Disember 2026 dengan fasa kedua bakal selesai pada Disember 2027.