Pembubaran parlimen yang telah diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri baru-baru ini bakal mengubah nasib saingan Piala Malaysia.
Menerusi satu sidang media berkenaan pelesenan kelab hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa pembubaran parlimen tempoh hari sedikit sebanyak telah menimbulkan beberapa persoalan bagi pihak MFL.
Beliau akui jika tarikh-tarikh penting bagi PRU-15 kali ini bertembung dengan aksi Piala Malaysia, MFL terpaksa menilai semula dan memuktamadkan tarikh baru untuk perlawanan diadakan.
“Pembubaran parlimen baru-baru ini telah menimbulkan beberapa tanda tanya tentang kempen Piala Malaysia. Dengan format kali ini kita adakan sedikit berlainan, saya pasti setiap perlawanan amat berharga bagi setiap pasukan dan pastinya ramai penyokong yang akan turun membanjiri stadium.”
Beliau dalam pada itu juga akan memastikan keselamatan setiap penonton yang hadir terjamin. MFL akan bekerjasama dengan semua pihak berwajib bagi memastikan kelancaran saingan Piala Malaysia kelak.
“Menjadi satu kerisauan juga buat kami tentang keselamatan apabila ramai penyokong akan hadir ke stadium memberi sokongan. Namun kami tetap ambil cakna akan hal itu.”
“Ketika ini kami di pihak MFL masih belum menerima tarikh rasmi berkaitan pilihan raya, penamaan calon dan sebagainya. Jikalau perlu dan tarikh perlawanan bertembung, maka kami akan ubah tarikh tersebut,” ujar Stuart Ramalingam.
Saingan Piala Malaysia 2022 bakal membuka tirai bermula dari 21 dan 22 Oktober 2022.