Pemenang pingat emas Olimpik 2024 dari Indonesia bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah Rp6 bilion (RM1.7 juta).
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi. Ini sebagai tanda penghargaan usaha keras atlet Indonesia untuk meraih pingat emas untuk negara itu.
Bonus yang diterima kali ini lebih banyak berbanding ganjaran untuk edisi Tokyo 2020. Pemenang pingat emas untuk temasya berkenaan menerima ganjaran berjumlah Rp5.5 bilion (RM1.5 juta).
Indonesia meraih dua pingat emas untuk temasya Olimpik 2024 menerusi Veddriq Leonardo dan Rizki Juniansyah. Veddriq mengungguli acara speed climbing lelaki dengan Rizki pula meraih emas dalam acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg).
Pemenang pingat emas Indonesia bukan satu-satunya penerima ganjaran atas kerja keras sepanjang temasya Olimpik 2024.
Majlis penyampaian bonus buat kontinjen Indonesia yang diadakan di Istana Negara, Jakarta pada 15 Ogos turut mendedahkan bilangan bonus diterima buat pemenang pingat perak, pingat gangsa atau atlet yang gagal meraih pingat.
Jurulatih yang membantu Veddriq dan Rizki meraih pingat emas mendapat ganjaran sebanyak Rp2.75 bilion (RM779,000). Sementara atlet dan jurulatih yang meraih pingat perak dan gangsa pula masing-masing menerima Rp1.65 bilion (RM467,000) dan Rp675 juta (RM191,000).
Jokowi turut mengumumkan pemberian insentif kewangan sebanyak Rp250 juta (RM70,000) kepada atlet Indonesia yang gagal meraih pingat dalam temasya Olimpik 2024.
“Pertama saya ingin mengucapkan ucapan terima masih dan penghargaan setinggi-tingginya dari bangsa Indonesia kepada atlet yang sudah berjuang keras di Olimpik 2024 dan memberikan kebanggaan luar biasa bagi bangsa dan rakyat Indonesia.
“Dan sebagai bentuk penghargaan atas prestasi membanggakan ini, pemerintah telah menyiapkan bonus sebesar Rp6 bilion (RM1.7 juta) untuk peraih medali emas, Rp1.65 bilion (RM467,000) untuk pemenang pingat lain (perak dan gangsa).
“Serta Rp2.75 bilion (RM779,000) untuk jurulatih atlet peraih emas, untuk pelatih pemenang pingat perak dan gangsa Rp675 juta (RM191,000). Serta Rp250 juta (RM70,000) untuk atlet yang tidak mendapat pingat sebagai sebuah penghargaan,” katanya dalam upacara penyampaian bonus seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Pencapaian dua pingat emas ini menyamai pencapaian yang dilakar Indonesia dalam temasya Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.