Pemilik Kuching City Tolak Hasrat Irfan Bakti Letak Jawatan
Liga Super
Kuching City Football Club
Advertisements

Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim merasakan beliau perlu bertanggungjawab atas prestasi buruk pasukan itu dalam kempen Liga Super musim ini.

Kelab itu tidak menang dalam lapan perlawanan terakhir liga, terbaru tewas 0-1 kepada Sri Pahang pada Selasa.

Minggu lalu Kuching City dibelasah 0-4 oleh Penang dalam saingan Piala FA, sekaligus menyaksikan rekod tanpa menang mereka kini melebar kepada sembilan perlawanan berturut-turut.

Advertisements

Satu-satunya kemenangan skuad berpangkalan di Borneo itu adalah ke atas Kelantan pada perlawanan pembuka tirai musim 2023.

Menganggap ia sesuatu yang tidak boleh diterima, Irfan Bakti telah manawarkan diri untuk meletak jawatan, namun pemilik bersama Kuching City, Fazzrudin Abd Rahman dan Kamaludin Akil tidak mahu melepaskannya.

Mereka masih menaruh kepercayaan kepada pengendali veteran itu untuk merubah nasib kelab dan membawa mereka keluar dari kedudukan tiga tercorot ketika ini.

Advertisements

“Sudah tentu saya rasai tekanannya, prestasi kelab tidak bagus jadi saya telah memberitahu mahu berundur tetapi mereka mahu saya kekal. Mereka memberitahu saya seorang tidak boleh dipersalahkan atas prestasi semasa kelab, ia melegakan untuk terus mendapat sokongan daripada pemilik.

“Saya sebelum ini tinggalkan Felda United dan Terengganu, tapi dua pasukan itu tidaklah berada di kedudukan bawah dalam liga. Saya tahu ia tidak berapa bagus untuk saya tinggalkan pasukan di pada situasi ini, ia seperti lari dari tanggungjawab jadi saya setuju untuk kekal dan pulihkan kedudukan mereka seterusnya membuktikan kepada semua Kuching City memang layak bermain di Liga Super.

“Buat masa ini saya perlu terus bertahan, kami membincangkan cara untuk meningkatkan prestasi pasukan. Pemilik terbuka untuk menerima cadangan, mungkin pada jendela kedua nanti kita akan dapat lihat sedikit perubahan,” ujar Irfan Bakti.

Advertisements

Tambah pengendali berusia 72 tahun itu, “Saya tahu pemain saya cuba yang terbaik pada setiap perlawanan, kita cuma perlu lebih fokus pada taktikal dan lebih klinikal di depan. Ramai kata kami ada semangat melawan cukup tinggi, tetapi ia tidak cukup.

“Kualiti pemain Kuching City dengan pasukan lain adalah tidak sama, ramai pemain tempatan di sini bermain dalam liga buat pertama kali. Mereka akan menjadi lebih baik, tetapi untuk membantu mereka kita perlukan beberapa pemain yang bagus, sama ada import ataupun tempatan.”

Aksi seterusnya Kuching City adalah menentang Penang di gelanggang lawan pada 27 April.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram