Pemilik Pas Bermusim Kedah Terima Manfaat Berganda
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menawarkan insentif berganda menarik buat pemegang pas bermusim pasukan itu untuk musim 2024/25.

Pemegang pas bermusim Sang Kenari bukan saja boleh mendapatkan akses kepada semua perlawanan pasukan itu untuk tiga kejohanan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Malah, pemegang pas bermusim juga berpeluang mendapatkan diskaun harga tiket perlawanan antara 50 hingga 60%.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Shahrul Samsudin, tawaran manfaat berganda ini dibuat bagi meningkatkan jumlah pemegang pas bermusim pasukan.

Berdasarkan semakan, Kedah memiliki 305 orang pemegang pas bermusim ketika ini. Ini sama sekali jauh daripada sasaran pengurusan pasukan untuk mendapatkan 5,000 orang pemegang pas bermusim.

“Bilangan pembelian pas bermusim KDA FC musim ini sejumlah 305 orang pemilik adalah masih rendah dan jauh dari sasaran awal untuk menjana pendapatan awal kelab melalui pemilikan 5,000 pas bermusim.

“Manfaat sebagai pas bermusim bukan hanya akses masuk ke Stadium Darul Aman bagi saingan Liga Super, pemilik juga akan mendapat keistimewaan diskaun pembelian cenderamata KDA FC, tempahan pembelian tiket awal, tempahan jersi pasukan dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas sebab itu, beliau melihat dengan pengenalan insentif terbaru ini, ini akan mendorong penyokong mendapatkan pas bermusim sebagai tanda sokongan kepada Kedah.

“Bagi meningkatkan jumlah penjualan pas bermusim KDA FC musim ini, pihak pengurusan memutuskan, selain perlawanan Liga Super, pemilik pas bermusim 2024/25 akan turut mendapat akses percuma bagi kejohanan Piala FA bagi semua pusingan.

“Keistimewaan ini turut meliputi Kejohanan Piala Malaysia musim ini. Dengan penawaran manfaat baru kepada semua pemegang pas bermusim KDA FC ini, penyokong menikmati diskaun sehingga 50-60% dari nilai sebenar tiket.

“KDA FC amat berharap, penyokong setia Sang Kenari terus memberi sokongan padu bagi setiap aktiviti perniagaan ditawarkan untuk terus menjana pendapatan seterusnya memastikan kelangsungan perjalanan kelab musim ini,” ujarnya.

Penyokong yang ingin mendapatkan pas bermusim Kedah untuk musim 2024/25 boleh berbuat demikian menerusi pembelian dalam talian di platform KDATV atau Sang Kenari Store di Lot 29A, Tingkat 1, Wisma PKNK.