Seorang pempengaruh Indonesia tidak berpuas hati mengapa Malaysia berada dalam Kumpulan D dalam pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2026.
Pempengaruh TikTok, sport_corner.id mendakwa Kumpulan D merupakan kumpulan lemah jika dibandingkan dengan Indonesia yang berada dalam Kumpulan F.
Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan. Sementara Indonesia pula menyertai dua negara ASEAN lain, Vietnam dan Filipina dalam Kumpulan F bersama gergasi Arab, Iraq.
“Timnas Indonesia dan Malaysia beda nasibnya di pertandingan pertama kualifikasi Piala Dunia 2026 Zona Asia.
“Saat Indonesia kebantai 1-5 lawan Irak, Malaysia justru menang 4-3. Memang lawannya beda kelas sama Irak, Malaysia cuman menang lawan Kirgistan.
“Tapi bila ngomong, bila diperhatiin, kenapa lawan-lawan Malaysia di kualifikasi lebih mudah daripada Indonesia ya.
“Saat Indonesia harus menghadapi Irak, Vietnam dan Filipina, Malaysia cuman lawan Oman, Kirgistan sama Taiwan,” katanya dalam satu hantaran video di TikTok.
Begitupun, ramai penyokong Harimau Malaya kurang bersetuju dengan hujah yang dikemukakan pempengaruh Indonesia itu.
Ini kerana dari segi ranking, Oman dan Kyrgyzstan memiliki ranking lebih tinggi daripada skuad negara.
Pengguna X, Che Wan mengingatkan sport_corner.id bahawa undian kelayakan kumpulan Piala Dunia 2026 ditentukan oleh pot masing-masing.
Antara sebab Indonesia berada dalam Pot 4 ialah disebabkan keputusan perlawanan-perlawanan persahabatan antarabangsa mereka sebelum ini yang kurang memberangsangkan.
Ini mengakibatkan kedudukan ranking FIFA Indonesia terjejas. Ini sekaligus memaksa mereka perlu melalui pusingan pertama kelayakan yang berlangsung pada Oktober lalu.
“Dia (sport_corner.id) lupa kita masuk kumpulan (kelayakan) pakai pot. Sedar sedikit Indonesia itu dalam Pot 4 dan kena main (dalam) pusingan pertama dulu,” katanya di X.
Selepas dua perlawanan, Malaysia kini menerajui Kumpulan D dengan enam mata. Sementara Indonesia di tangga tercorot Kumpulan F dengan satu mata.
Video penuh: Malaysia Didakwa Diundi Pasukan Lemah