Pemain kebangsaan Malaysia Faisal Halim yang baru ditimpa tragedi simbahan asid sulfurik kini sedang dalam proses pemulihan yang memasuki fasa baharu.
Selepas dilaporkan mengalami kecederaan lecur tahap empat, Faisal terpaksa menjalani tiga peringkat pembedahan. Beliau juga difahamkan bakal menjalani prosedur implan kulit dalam memastikan kecederaan yang dialami selepas disimbah asid berjaya dipulihkan.
Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, beliau berkata bahawa pemulihan fasa baharu iaitu penukaran balutan luka merupakan proses standard yang perlu dijalankan sebagai langkah untuk menjaga luka.
“Ia dilakukan untuk mengekalkan kelembapan kulit selain mewujudkan penghalang untuk mengurangkan risiko jangkitan,” ujar Hazwan Khair.
Dalam pada itu, Dr Hazwan melihat pemain yang mesra disapa Miki itu dalam keadaan ceria yang menggambarkan tahap psikologi Faisal berada pada tahap terbaik.
“Kita mengadakan perbincangan dengan pakar bedah pada setiap hari dan kita tengok ‘mood’ Faisal semakin baik. Itu yang kita harapkan kerana ini penanda aras terbaik mengenai tahap psikologinya.”
“Apa yang penting adalah dia semakin ceria dan itu bermaksud perkembangan itu sangat positif,” kata Hazwan ketika ditemui media di perkarangan hospital tempat Faisal dirawat.
Faisal kini terus berada dalam keadaan stabil dan berada dibawah jagaan rapi pihak hospital.