Penang FC dipastikan tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan import kebal bagi saingan Liga Super seterusnya menentang Selangor FC, 27 Julai ini.
Pengendali Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberitahu MakanBola bahawa kelibat Richmond Ankrah tidak akan dapat disaksikan dalam perlawanan tersebut memandangkan pemain tersebut adalah pemain pinjaman dari Selangor.
“Bertemu Selangor, kita tidak dapat menggunakan Richmond Ankrah kerana beliau dipinjamkan dari Selangor dan dalam kontrak beliau, beliau tidak boleh bermain.
“Namun kita ada beberapa pemain pengganti yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Richmond. Saya harap pertahanan kita kekalkan hanya dua bolos dalam lima perlawanan dan harap ianya terus berlaku ketika menentang Selangor,” jelas Akmal Rizal ketika ditemubual MakanBola.
Namun begitu, seorang lagi pemain pinjaman dari Selangor iaitu Sikh Izhan Nazrel yang beraksi di posisi penjaga gol dijangka akan dapat diturunkan dalam aksi tersebut.
Penang kini menduduki tangga ke-8 Liga Super dengan mengumpul enam mata selepas 5 perlawanan liga yang diharungi. Biarpun kurang dibolosi, Penang mungkin sedikit tumpul musim ini apabila hanya merekodkan 3 jaringan sahaja setakat ini.