Penang Lepaskan 22 Pemain Serentak
MakanBola
Penang FC

Pasukan Liga Super, Penang FC melakukan kejutan dengan melepaskan seramai 22 pemain serentak bagi menghadapi saingan Liga Super 2025/2026.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh pihak pengurusan Penang dalam satu pengumuman di laman sosial rasmi pasukan.

Antara pemain nama besar yang dilepaskan termasuk dua pemain import iaitu Rodrigo Dias dan Neto Oliveira selain tiga pemain pinjaman iaitu Syamer Kutty (Johor Darul Ta’zim), Richmond Ankrah (Selangor FC) dan Sikh Izhan yang juga kembali ke Selangor.

Penang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua emain yang telah menamatkan komitmen bersama kelab bagi musim 2024/2025.

“Penang FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada 22 pemain yang telah menamatkan komitmen bersama kelab bagi musim 2024-2025.

“Sepanjang musim ini, semua pemain terbabit telah menunjukkan semangat kesukanan, profesionalisme dan dedikasi yang tinggi dalam mewakili Penang FC di pelbagai kejohanan dan peringkat saingan. Sumbangan mereka sama ada di atas padang mahupun di luar padang telah menjadi sebahagian penting daripada perjalanan dan pembangunan pasukan sepanjang musim 2024-2025.

“Kelab amat menghargai segala jasa, pengorbanan dan usaha yang telah dicurahkan oleh semua pemain ini. Kami percaya bahawa setiap individu telah memberikan yang terbaik demi warna dan lencana pasukan, dan segala sumbangan tersebut tidak akan dilupakan oleh seluruh keluarga besar Penang FC,” umum Penang FC di laman Instagram.

Penang menepati ramalan peminat untuk merombak pasukan bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Super dengan beberapa nama besar dikaitkan untuk menyertai mereka seperti Wan Zack Haikal.