Piala Dunia
talkSPORT
Advertisements

Hasrat Argentina bergelar juara dunia buat kali ketiga akhirnya tercapai selepas berjaya mengalahkan Perancis di pentas final Piala Dunia 2022. Kali terakhir Albiceleste menjulang piala tersebut ialah pada 1986 oleh mendiang Diego Maradona.

Sebaik sepak mula, Argentina mula mengasak kubu Les Bleus. Dan mereka hampir di depan menerusi Julian Alvarez selepas hantaran Rodrigo de Paul gagal disekat Dayot Upamenaco. Bagaimanapun, cubaan penyerang Manchester City itu mudah ditangkap penjaga gol Spurs dan kapten Perancis, Hugo Lloris. Empat minit selepas itu, percubaan pemain tengah Brighton Alexis MacAllister juga berjaya ditangkap Lloris.

Argentina Perancis Piala Dunia 2022 France 24 English Penantian 36 Tahun Argentina Berakhir, Juarai Piala Dunia Tewaskan Perancis
Messi tenang menewaskan Lloris pada minit ke-22 bagi meletakkan Argentina di depan. Gambar: France 24 English

Bagaimanapun, gawang Perancis bolos juga apabila Albiceleste dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-21. Ini selepas bekas pemain sayap Manchester United, Angel Di Maria dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Ousmane Dembele. Lionel Messi tenang menyempurnakan penalti seminit selepas itu menewaskan Lloris. Gol tersebut turut meletakkan Messi seketika mendahului Kylian Mbappe sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Advertisements
Angel Di Maria meraikan jaringan kedua Argentina pada minit ke-36. Gambar: France 24 English.

Perancis cuba bangkit tetapi Albiceleste menambah jaringan menerusi Di Maria pada minit ke-36. Bermula daripada Messi, legenda Barcelona itu menghantar bola kepada Alvarez yang berada di garisan bulat padang. Bekas penyerang River Plate itu kemudiannya melorongkan bola kepada MacAllister yang melarikan bola ke arah kotak penalti Les Bleus. Pemain tengah Seagulls itu melorongkan bola kepada Di Maria yang mudah menewaskan Lloris.

Perancis yang dibimbing Didier Deschamps kemudiannya membuat dua pertukaran dengan memasukkan Marcus Thuram dan Randal Kolo Muani menggantikan Dembele dan Olivier Giroud. Thuram mencipta sejarah dengan mengikut jejak langkah bapanya, Lilian yang beraksi di pentas final Piala Dunia 1998 dan 2006. Ini menjadikan mereka pasangan bapa dan anak pertama beraksi di pentas final Piala Dunia. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Les Bleus yang nampak kurang bermaya akibat jangkitan virus pada beberapa pemain cuba bangkit. Tetapi Argentina terus mengawal permainan dan hampir menambah gol ketiga menerusi Alvarez pada minit ke-60. Bagaimanapun, sepakannya itu berjaya ditepis Lloris sebelum berjaya menangkap bola berkenaan.

Advertisements

Selepas beberapa lama, akhirnya Mbappe dapat menguji gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez pada minit ke-71. Bagaimanapun, sepakan jarak jauhnya terbang melepasi gawang Martinez. Seminit selepas itu, giliran Enzo Fernandez pula menguji Lloris menerusi sepakan dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol Tottenham Hotspur itu.

Mbappe merapatkan jurang menerusi penalti pada minit ke-80. Gambar: Ben Jacobs

Perancis kemudiannya berpeluang merapatkan jurang selepas dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-79. Ini selepas Kolo Muani ditarik oleh bekas bek tengah Manchester City, Nicolas Otamendi. Mbappe merembat kuat bola melepasi Martinez pada minit ke-80 bagi merapatkan jurang dengan Albiceleste.

Dan seminit selepas itu, Mbappe menyamakan kedudukan buat Perancis. Bermula dari satu gerakan yang dicetuskan oleh Kingsley Coman, pemain tengah Bayern Munich itu menghantar bola kepada Adrien Rabiot. Rabiot kemudiannya melorongkan bola kepada Thuram sebelum menolak ke arah penyerang PSG itu dan tenang menewaskan Martinez buat kali kedua. Gol tersebut turut membenarkan Mbappe kembali menjadi penjaring terbanyak Piala Dunia 2022.

Advertisements

Dua gol tersebut memberi keyakinan kepada Perancis menggempur kubu Argentina. Dan pada masa tambahan, rembatan Rabiot selepas menerima umpanan Coman berjaya ditepis Martinez sebelum bola muntah tersebut berjaya ditangkapnya. Dua minit sebelum perlawanan tamat, Messi pula menguji Lloris menerusi sepakan dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis keluar. Perlawanan berkesudahan 2-2 sekaligus memaksa perlawanan final dibawa ke masa tambahan 30 minit.

Separuh pertama masa tambahan menyaksikan Argentina kembali di hadapan menerusi Lautaro Martinez pada minit ke-105 tetapi berjaya disekat Upamecano. Sepakan susulan Gonzalo Montiel dari luar kotak penalti juga berjaya ditanduk keluar pertahanan Les Bleus. Seminit selepas itu, Martinez sekali lagi mencuba tetapi berjaya disekat pemain pertahanan Perancis.

Messi meraikan gol ketiga Albiceleste. Gambar: France 24 English

Tetapi akhirnya, Argentina menyumbat gol ketiga bagi meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-109. Fernandez menghantar bola kepada Martinez yang berada di sebelah kiri sebelum menguji ketangkasan Lloris. Walaupun berjaya ditepis penjaga gol Spurs itu, Lloris tidak mampu menghalang Messi daripada menyumbat gol ketiga Albiceleste.

Advertisements

Tetapi sorakan ceria Argentina kembali suram selepas bola didapati terkena siku Montiel dalam kotak penalti pada minit ke-116. Mbappe sekali lagi diamanahkan mengambil sepakan penalti dan graduan AS Monaco itu tenang menewaskan Emiliano Martinez buat kali ketiga seminit selepas itu.

Kedua-dua pasukan saling menyerang tetapi keputusan perlawanan berkesudahan 3-3 selepas tamat masa tambahan. Ini memaksa penentuan sepakan penalti diadakan bagi menentukan siapa patut bergelar juara.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Messi dan Mbappe mudah menyempurnakan penalti mereka. Tetapi Martinez berjaya menafikan penalti Coman bagi membolehkan Argentina meraih kelebihan. Dybala kemudiannya tenang menyempurnakan penalti kedua Albiceleste melepasi Lloris. Argentina terus selesa apabila penalti Aurelien Tchouameni pula tersasar.

Leandro Paredes kemudiannya menambah kelebihan Albiceleste menerusi penalti yang ketiga. Bagaimanapun, Kolo Muani merapatkan kedudukan dengan menyempurnakan penalti Perancis yang kedua. Gonzalo Montiel muncul wira dengan menewaskan Lloris sekaligus membolehkan Argentina bergelar juara dunia buat kali ketiga.

Dengan kemenangan ini, ia bukan sekadar mengakhiri kemarau Piala Dunia selama 36 tahun untuk Argentina. Tetapi pada masa sama, ia juga merupakan hadiah perpisahan terbaik buat Messi dan Di Maria selepas kedua-duanya mengumumkan perlawanan akhir di Stadium Lusail ini sebagai penampilan terakhir mereka di peringkat antarabangsa.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram