Pencabar Malaysia dalam Kumpulan F, Laos mendapat suntikan moral apabila mendapat tiga pemain warisan baharu dari Perancis.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil Ha Hyeok-jun untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Tiga pemain tersebut ialah Roman Angot, Theo Klein dan Victor Ngovinassack. Angot beraksi untuk kelab divisyen enam Jerman, VL Sudbaden.
Klein pula beraksi untuk kelab NCAA D1, Omaha Mavericks. Ngovinassack beraksi untuk kelab divisyen enam Perancis, Is-Selongey.
Panggilan ini menyaksikan Laos mengikut jejak negara-negara Asia Tenggara yang merekrut pemain-pemain warisan untuk skuad kebangsaan mereka.
Lawan Laos dalam Kumpulan F, Malaysia dan Vietnam masing-masing memiliki pemain warisan dalam skuad mereka.
Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain baru, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Vietnam pula berharap dapat melengkapkan proses dokumentasi pemain pertahanan Cong An Ha Noi (CAHN), Jason Pendant.
Selain mereka, Laos turut memanggil bintang baru Dong A Thanh Hoa, Damoth Thongkhamsavath. Pemain berusia 20 tahun itu baru saja melengkapkan perpindahan ke kelab Vietnam itu pada 10 Mac lalu.
Laos bakal berentap dengan Sri Lanka untuk aksi persahabatan pada 20 Mac. Ini disusuli aksi pertama Kumpulan F menentang Vietnam pada 25 Mac.