Status penggantungan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menarik perhatian seorang pengamal undang-undang untuk mengulas perkara berkenaan.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menggantung keahlian badan bola sepak Kelantan itu berkuat kuasa serta-merta pada 23 Disember lalu.
Keputusan tersebut diambil selepas Jawatankuasa Pertikaian Dalaman (JPD) FAM mendapati Kongres KAFA Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Sesi 2024-2028 tidak sah.
Selain didapati tidak membenarkan ahli gabungan hadir dan dijemput ke kongres itu, KAFA juga tidak mengikut prosedur dan tatacara yang betul dalam mengendalikan kongres.
Lantaran itu, FAM mengarahkan KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan secepat mungkin. Perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).
Situasi ini membuatkan peminat bola sepak negara tertanya-tanya mengapa perkara ini tidak dirujuk kepada PPS. Ini kerana situasi ini hampir sama dengan situasi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada 2022.
Peguam, Zhafri Aminurrashid memaklumkan situasi ini berbeza kerana pelaksanaan Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan (Tatacara Dalaman bagi Penyelesaian Pertikaian Dalam Badan Sukan).
“Secara ringkas, peraturan ini mewajibkan setiap badan sukan hendaklah menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul di dalam badan sukan tersebut mengikut tatacara dalaman yang ditetapkan dalam statut atau perlembagaan persatuan,” katanya.
“Sekiranya pertikaian tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian, barulah isu tersebut boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JPS).” JPS ketika ini dipengerusikan Presiden Sofbol Asia, Datuk Low Beng Choo.
Apabila Zhafri meneliti kes KAFA, jelas sekali badan bola sepak Kelantan itu melanggar kewajipan ahli mengikut Statut FAM termasuk Artikel 16 (1) (ix).
Artikel berkenaan menyatakan pemilihan dibuat mengikut prosedur yang menjamin kebebasan sepenuhnya pemilihan yang diadakan.
“Oleh kerana berlakunya pemilihan yang tidak sah, segala pelantikan jawatan juga adalah terbatal dengan sendirinya.
“Berdasarkan (perkara) itu, FAM memutuskan bahawa keahlian KAFA digantung sehingga pemilihan semula (Jawatankuasa Eksekutif KAFA) diadakan,” ujarnya.
Zhafri turut melihat FAM sebenarnya sudah memberi tempoh mencukupi iaitu dua bulan bagi pihak-pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan pertikaian mereka.
“Tempoh masa selama 2 bulan untuk FAM selesaikan aduan tersebut adalah satu tempoh yang memadai,” tambahnya.
“Malah antara penyelesaian yang paling cepat mengikut pengalaman sendiri saya. Kebiasaan kes FAM akan diselesaikan antara (tempoh) tiga hingga enam bulan.”
Zhafri turut melihat isu ini bukan bererti pengakhiran buat bola sepak negeri Kelantan. Ini kerana penggantungan tersebut bersifat sementara dan boleh diselesaikan mengikut perlembagaan masing-masing.