Aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan pengadil memberi masa tambahan sebanyak 29 minit.
SNE Sports melaporkan langkah itu diambil pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin bukan saja kerana kegagalan sistem bantuan video pengadil (VAR).
Malah, perlawanan turut ditangguhkan selama 10 minit apabila salah satu lampu limpah Stadium Azadi terpadam.
Dua faktor ini mendorong Hyung-jin menambah masa tambahan sebanyak 29 minit pada separuh masa pertama.
Rekod ini mengatasi rekod masa tambahan paling lama iaitu 28 minit. Rekod tersebut dicatatkan dalam aksi Carabao Cup antara Burton Albion dan Bournemouth pada 2019.
Semasa perlawanan berlangsung, lampu limpah stadium terpadam akibat masalah elektrik. Perlawanan hanya diteruskan selepas 24 minit dengan pengadil memberi masa tambahan sebanyak 28 minit.
Tempoh masa tambahan yang panjang tidak menghalang Team Melli menyumbat gol pertama pada minit ke-62 menerusi Sardar Azmoun.
Kemenangan Iran disahkan menerusi pemain sayap Rostov, Mohammad Mohebi pada minit ke-70. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Team Melli terus mengetuai Kumpulan A dengan 19 mata, tiga mata di hadapan Uzbekistan.
Iran berharap dapat meraih satu lagi kemenangan ke atas Uzbekistan dengan harapan mengikut jejak Jepun layak ke Piala Dunia 2026.