Pemain tengah muda Selangor FC, Haykal Danish Mohd Haizon sedia memanfaatkan pengalaman semasa di Luxembourg bila menyertai kem Harimau Malaya.
Pada 2022, Haykal menjadi sebahagian daripada tiga pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berpeluang menjalani sesi percubaan bersama FC Annecy (Perancis) dan Racing FC (Luxembourg).
Selain beliau, Muhammad Abu Khalil dan Rohisham Haikal turut mendapat peluang serupa. Pada satu ketika, Racing dilaporkan mahu membawa Haykal dan Rohisham ke Luxembourg.
Meskipun perpindahan itu tidak menjadi kenyataan, ilmu yang ditimba di negara berkenaan banyak membantunya menjadi pemain bola sepak yang bagus.
Dan itu bakal menjadi pendorong Haykal bila menyertai kem latihan Harimau Malaya.
“Ada sebab di luar (Luxembourg), kita pun bermain dengan pasukan senior. Dapatlah belajar sikit-sikit benda dari sana, saya bawa ke sini. Ini hasilnya dan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Pemain tengah berusia 19 tahun itu turut melihat panggilan menyertai skuad Pau Marti Vicente sebagai peluang menambah ilmu dengan barisan pemain senior negara.
“Apa yang saya rasa sudah semestinya terkejut, alhamdulillah. Mungkin panggilan ini dapat bantu saya belajar dengan pemain-pemain berpengalaman untuk jadi pemain yang lebih bagus. Jadi, saya harap dapat banyak belajar daripada mereka,” ujarnya.
Haykal bukan satu-satunya pemain Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) yang menyertai kem Harimau Malaya. Penjaga gol Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II, Haziq Aiman Mohd Esa turut menerima panggilan kem sama.
Skuad negara kini sibuk mengatur persiapan untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand pada 14 Oktober ini.