Pengarah sukan Manchester United, Dan Ashworth mengundur diri lima bulan selepas menggalas peranan berkenaan.
Portal The Athletic melaporkan keputusan tersebut dicapai menerusi pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United, Omar Berrada selepas kekalahan pasukan itu di tangan Nottingham Forest pada 7 Disember lalu.
Pemegang saham minoriti The Red Devils, Sir Jim Ratcliffe dilihat memainkan peranan penting di sebalik keputusan tersebut. Ramai staf United terkejut dengan pemergian Ashworth memandangkan kelab berusaha membawanya dari Newcastle United ke Old Trafford.
Pengarah sukan berusia 53 tahun itu memaklumkan pengurusan The Magpies pada Februari lalu bahawa beliau akan menyertai United. Susulan itu, kedua-dua kelab berusaha mendapatkan nilai pampasan yang bersesuaian.
Apabila kata putus gagal dicapai oleh pengurusan United dan Newcastle, Ashworth mengancam mahu mengheret pasukan dari utara England itu ke tribunal pekerjaan untuk menentukan pampasan yang patut dibayar.
Akhirnya, kata putus berjaya dicapai kedua-dua pasukan di mana beliau menyertai pasukan itu pada Julai lalu. Antara tugas Ashworth ialah menyelia operasi bola sepak, prestasi dan perpindahan.
Bekas pengarah sukan Brighton itu bertanggungjawab melanjutkan kontrak Erik ten Hag sehingga tahun 2026. Beliau juga bertanggungjawab mendapatkan pemain-pemain seperti Mathijs de Ligt, Manuel Ugarte dan Leny Yoro.
Walau bagaimanapun, prestasi buruk United di bawah kendalian ten Hag mengundang rasa tidak puas hati Ratcliffe terhadap Ashworth. Beliau turut menganggap keputusan memberi kontrak baru kepada pengurus Belanda itu sebagai satu kesilapan.
Ini terbukti apabila pelantikan pengganti ten Hag, Ruben Amorim pada November lalu digerakkan oleh Berrada.
Pemergian Ashworth dijangka mengundang persoalan siapa yang bakal dibawa masuk Ratcliffe untuk posisi berkenaan. Sebarang usaha untuk membawa pengarah sukan Sporting Lisbon, Hugo Viana ke Old Trafford dijangka sukar.
Ini kerana sekutu Amorim itu sudah menyatakan persetujuan untuk menggalas peranan sebagai pengarah sukan baharu Manchester City. Viana dijangka memulakan tugasnya sebagai pengganti Txiki Begiristain pada akhir musim 2024/25.
Satu nama yang dijangka menggalas peranan itu secara tetap ialah Christopher Vivell. Vivell sebelum ini dibawa masuk sebagai pengarah perpindahan interim United.
Bekas pengarah sukan RB Leipzig itu dianggap pilihan kerana mengenal pasti ramai pemain berbakat besar seperti Erling Haaland, Brian Brobbey dan Benjamin Sesko.