Pengendali Sepanyol bakal menjadi pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pengganti Hector Bidoglio.
Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila ditanya tentang situasi semasa pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Zulhelmi memaklumkan pemilihan jurulatih Sepanyol dibuat memandangkan JDT kini diterajui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu dan legenda Liverpool, Luis Garcia.
Perubahan ini juga merupakan sebahagian daripada peralihan fokus DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dari Amerika Selatan kepada Sepanyol.
“Saya boleh menjangkakan (calon jurulatih baharu) datang dari Sepanyol. Sebab JDT telah menandatangani Luis Garcia, bekas pemain Liverpool sebagai CEO,” katanya dalam program Nadi Arena.
“Jadi, saya rasa peralihan dari Argentina kepada Sepanyol sedang berlaku dalam skuad JDT kali ini. Sebab kecenderungan Tunku Ismail sebagai pemilik kelab menggunakan kepakaran dari Argentina.
“Bukan saja dari segi barisan kejurulatihan tetapi juga dari segi pengurusan. Macam Martin Prest sebagai pengarah sukan. Jadi, perubahan (fokus) dari Argentina kepada Sepanyol akan berlaku.”
Sebelum ini, kedudukan Bidoglio mula menjadi tumpuan apabila beliau dilaporkan menjadi sebahagian daripada 11 nama yang tidak dikekalkan bersama JDT pada musim hadapan.
Selain beliau, nama-nama tonggak import seperti Jordi Amat, Shane Lowry dan Jese Rodriguez turut berada dalam senarai tersebut.