Advertisements
Pengendali Tajikistan Mahu Jadikan Pestabola Merdeka Medan Eksperimen
Asia
MakanBola
Tajikiskan Football Federation

Ketua jurulatih Tajikistan, Gela Shekiladze melihat kejohanan Pestabola Merdeka kali ini sebagai medan eksperimen buat Tajikistan.

Pada edisi lalu, Tajikiskan muncul juara Pestabola Merdeka 2023 selepas berjaya menewaskan Malaysia di pentas final dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Rustam Soirov dan Shahrom Samiev.

Tampil dengan kehadiran pemain-pemain muda dan skuad yang berbeza daripada edisi sebelum ini, pengendali baharu Tajikistan ini ingin memastikan anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekalkan trofi kejuaraan.

Pasukan yang mesra dengan gelaran The Crowns ini turut tidak memanggil tonggak utama daripada FC Istiklol Dushanbe kerana pasukan itu meletakkan fokus kepada kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

“Berbeza dengan edisi yang kami juarai musim lalu, kali ini kami hadir dengan beberapa pemain yang kali pertama dipanggil bersama skuad kebangsaan. Kami ada 10 pemain baharu dan seorang penjaga gol baharu. Disini kami ingin melihat kemampuan pemain-pemain ini,” ujar Gela Shekiladze.

“Saya lihat kejohanan ini sebagai medan yang berguna buat pasukan kami terutamanya untuk pemain-pemain muda Tajikistan.”

Gela akui tiga pasukan lain yang bertanding iaitu Malaysia, Lubnan dan Filipina masing-masing miliki peluang untuk mencabar gelaran juara bagi edisi kali ini.

“Di kejohanan Pestabola Merdeka ini, pasukan-pasukan yang kuat akan bertanding. Kami pernah bertemu Lubnan sebelum ini dan Lubnan merupakan pasukan yang kuat. Malaysia dan Filipina pula adalah pasukan yang bagus.”

Tajikistan akan berdepan Lubnan pada petang ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Aksi pembukaan Pestabola Merdeka itu dijadual berlangsung tepat jam 4.30PM.