Pengukuhan Liga Malaysia Hasilkan Skuad Harimau Malaya Berkualiti

Malaysia Papua New Guinea FA Malaysia 1 Pengukuhan Liga Malaysia Hasilkan Skuad Harimau Malaya Berkualiti
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
5:30pm 04/07/2023

Dalam beberapa tahun ini, kualiti Harimau Malaya semakin bertambah baik lebih-lebih lagi di bawah bimbingan jurulatih Kim Pan-gon. Bagaimanapun, bagi memastikan kualiti pasukan terjaga, pengukuhan Liga Malaysia (Liga M) perlu dibuat dari semasa ke semasa.

Perkara ini dinyatakan oleh bekas jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan. Ini kerana beliau melihat apabila kualiti yang dimiliki Liga M bertambah bagus, ini akan menambah kualiti para pemain yang membarisi skuad kebangsaan.

Tetapi untuk merealisasikan perkara ini menjadi realiti, semua pemegang taruh liga termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu belajar daripada kisah kejayaan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Dengan belajar daripada JDT FC, ini akan menjadikan pengurusan semua pemegang taruh bukan saja lebih profesional dan telus. Malah, ia secara tidak langsung menjadikan Liga M lebih menarik dan berkualiti sekaligus menaikkan nama liga ke tahap lebih tinggi.

“Saya pernah cakap, dulu kita nak pelajari dan perbaiki, kita contohi negara-negara luar. Tapi bagi saya, sekarang kita sudah ada JDT (FC). Kita sudah ada yang dekat, di depan mata.

“JDT (FC) membuat satu konsep yang begitu baik untuk pasukan-pasukan di Malaysia ini. Contohi JDT (FC) tidak salah, akan menambah ilmu dan melihat betapa meningkatnya liga kita macam Razman (Roslan) cakap, baik untuk pasukan kebangsaan.

“Ini amat mustahak. Jika liga kita kukuh, kita akan dapat skuad kebangsaan yang baik,” katanya semasa menjadi panel rancangan bual bicara Nindia di Astro Arena semalam.

Dengan Harimau Selatan terus gah di persada Liga Super dan mencipta pelbagai pencapaian di luar padang, ia sesuatu yang patut difikirkan semua pemegang taruh bola sepak negara.