Pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuatkan para peminat setia Harimau Malaya bersorak gembira.
Baru-baru ini, FAM telah mengesahkan bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski akan menentang pasukan ke-72 dunia, Cape Verde pada 29 Mei ini.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski akan bertemu pasukan ranking 72 dunia, Cape Verde pada Khamis, 29 Mei 2025.
“Selain itu, kedua-dua pasukan akan bertemu kali kedua pada satu lagi perlawanan berstatus Perlawanan Latihan yang akan diadakan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Jun 2025,” ujar FAM.
Aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan pasukan kebangsaan akan mendapat persiapan terbaik menjelang pertemuan menentang jaguh Asia Tenggara, Vietnam pada 10 Jun nanti.
Malaysia kini dalam momentum terbaik selepas membenam cabaran pasukan ke-175 dunia, Nepal dengan keputusan 2-0 pada aksi pertama Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027.
Tiket aksi Malaysia dan Cape Verde sudah mula dijual dengan harga RM40 bagi ruang terbuka dan RM5 buat kanak-kanak.
“Ayuh penyokong Harimau Malaya, tiket Malaysia vs Cape Verde pada Khamis, 29 Mei 2025 dan Malaysia vs Vietnam pada Selasa, 10 Jun 2025 sudah boleh dibeli.”
Tiket bagi aksi Malaysia menentang Vietnam pula bermula pada RM40 bagi terbuka sehingga RM70 bagi ruang premium.