Thailand membuat kejutan dengan tidak menyenaraikan pemain-pemain terbaik mereka untuk dua aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober ini.
Ini berdasarkan senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menerusi laman media sosial rasmi pasukan, Changsuek hari ini.
Nama-nama besar seperti Chanathip Songkrasin (BG Pathum United), Theerathon Bunmathan (Buriram United) dan Supachok Sarachat (Hokkaido Consadole Sapporo) tidak dipanggil untuk dua aksi tersebut.
Tiada sebab dinyatakan mengapa nama-nama ini tidak dipanggil. Begitupun, ramai penyokong Thailand percaya nama-nama besar ini tidak dilepaskan kelab-kelab masing-masing susulan komitmen terhadap ACL.
Ini memaksa Polking memanggil beberapa nama dari skuad B-23 Thailand untuk mengisi kekosongan tersebut. Antara yang terpilih ialah dua peledak muda, Yotsakorn Burapha dan Teerasak Poeiphimai.
Bagi wartawan sukan Thailand, Ta Lao, beliau menganggap pemilihan skuad Gajah Perang kali ini bukan yang terbaik.
“Jangan hantar kami ke mana-mana kalau kita tak boleh dapatkan pemain-pemain terbaik kita mewakili negara. Skuad ini memalukan,” katanya di platform X.
Thailand akan menentang Georgia pada 13 Oktober sebelum menentang Estonia pada 18 Oktober. Kedua-dua perlawanan ini akan diadakan di Georgia.