Siwarak Tedsungnoen mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan untuk Buriram United dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini kerana beliau menjadi sebahagian daripada 10 pemain tertua yang pernah membuat penampilan dalam sejarah kejohanan itu.
Semakan di Transfermarkt mendapati Siwarak menjadi pemain kesembilan dalam senarai tersebut pada 41 tahun enam hari.
Siwarak dipilih sebagai penjaga gol utama Thunder Castle untuk menghadapi cabaran Al-Ahli pada 27 April lalu. Beliau kemudiannya digantikan penjaga gol Filipina, Neil Etheridge pada minit ke-88.
Walau bagaimanapun, beliau bukan pemain Asia Tenggara tertua yang membuat penampilan di pentas ACLE.
Penghormatan itu jatuh kepada bekas orang besi Singapura, Daniel Bennett. Bennett melakukannya dalam aksi ACL antara Tampines Rovers (kini BG Tampines Rovers) dan Chiangrai United pada 10 Julai 2021.
Siwarak berpeluang melakar satu lagi rekod apabila Buriram United berdepan Nongbua Pitchaya pada 30 April ini.
Jika Buriram berjaya meraih kemenangan, pasukan itu bukan saja menjadi pasukan Thailand pertama meraih empat kejuaraan liga berturut-turut.
Malah, Siwarak berpeluang menjadi pemain Thai League pertama yang meraih 10 kejuaraan liga. Ini sekaligus menjadikan beliau legenda bola sepak Thailand paling berjaya dalam liga tersebut.