Arena bola sepak negara Malaysia diselubungi kesedihan apabila legenda Penang, Firos Mohammed menghembuskan nafas terakhir pada 5 Julai lalu.
Berita sedih itu dikongsikan pengacara Sukan RTM, Zachki Ahmad Suri menerusi satu hantaran di Facebook.
“Dukacita, Firos Mohammed telah kembali ke rahmatullah pukul 10.15 malam,” katanya.
Firos meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Legend All Star yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Putera beliau yang terkejut melihat keadaannya turut tidak sedarkan diri pada ketika itu. Situasi ini menyebabkan pasukan perubatan memberi bantuan awal kepada mereka sebelum dikejarkan ke hospital.
Video insiden tersebut turut menjadi bualan peminat bola sepak apabila ia dimuat naik Penang Brotherhood.
Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Legend All Star menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Nama Firos cukup dikenali peminat bola sepak Pulau Pinang pada tahun 90-an. Ini kerana beliau antara penjaga gol terbaik pasukan itu.
Malah, Firos juga pernah tersenarai dalam skuad kelayakan Sukan Olimpik Barcelona edisi 1992.