Pengurusan Perak FC tampil memberi penjelasan tentang penangguhan terbaru aksi Liga Super antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Aksi membabitkan Perak dan JDT yang sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan buat kali kedua susulan cuaca buruk dan padang digenangi air.
Pengumuman penangguhan perlawanan buat kali kedua mengundang rasa tidak puas hati bukan saja penyokong kedua-dua pasukan. Malah, situasi ini turut menarik perhatian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Lantaran itu, pengerusi kelab, Dato’ Seri Abdul Azim bin Mohd Zabidi tampil menjelaskan apa yang berlaku. Abdul Azim menyifatkan perkara ini berlaku kerana Perak tidak diberi peluang untuk berbincang atau menyuarakan pandangan tentang isu penangguhan perlawanan.
“Perak FC prihatin dan berkongsi kekecewaan yang diluahkan penyokongnya serta komuniti bola sepak atas penangguhan perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) malam tadi yang didakwa disebabkan oleh cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak sesuai untuk penganjuran perlawanan.
“Perak ingin menjelaskan bahawa kami tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang atau memberikan pandangan sepanjang proses membuat keputusan ini.
“Perak sebagai sebahagian daripada pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk penilaian kesesuaian venue perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Azim turut menyifatkan perkara ini boleh dielak seandainya MFL menyediakan notis awal dan perancangan rapi untuk memastikan perlawanan dapat dijalankan.
Atas sebab itu, beliau mengingatkan MFL bahawa sebarang keputusan yang dibuat mestilah mengambil kira semua pemegang taruh termasuk penyokong. Ini kerana penyokong merupakan nadi kepada sukan bola sepak di Malaysia.
“Pihak kami ingin menekankan bahawa kurangnya pertimbangan terhadap para penyokong kedua-dua pasukan, Perak dan JDT yang hadir ke stadium adalah isu utama dalam hal ini.
“Pihak MFL perlu lebih prihatin, konsisten dan praktikal dengan mengambil kira serta menjaga kepentingan semua pemegang taruh, khususnya para penyokong. Perak ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada pihak MFL bahawa penyokong adalah nadi kepada sukan ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukan Perak FC atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kami berharap agar pihak MFL akan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dan lebih terancang pada masa hadapan bagi mengelakkan keadaan seperti ini berulang lagi,” tambahnya.
Aksi tertangguh antara Perak dan JDT dijangka diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. Ini kerana selepas ini, proses penaiktarafan Stadium Perak bakal dijalankan termasuk penaiktarafan padang.
Atas sebab itu, pengurusan The Bos Gaurus memaklumkan baki aksi Liga Malaysia (Liga M) membabitkan pasukan itu akan dilangsungkan di Manjung.