Penyokong Sabah FC mula meluahkan kerisauan dengan kehadiran penyerang import baharu pasukan itu iaitu Joao Pedro Boeira dari Brazil.
Joao Pedro yang berusia 24 tahun sebelum ini diumumkan sebagai penyerang baharu Sabah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penyerang berbisa Sabah, Ramon Machado yang meninggalkan pasukan.
Namun kehadiran Joao Pedro dilihat merisaukan segelintir penyokong Sabah melalui rekod jaringan yang dicatatkan sepanjang karier profesional beliau.
Rata-rata mereka tidak mahu sejarah penyerang tumpul yang dialami Sabah sebelum kehadiran Machado berulang kembali.
“12 perlawanan, dua gol sahaja dia sumbangkan bersama kelab lama, Viettel FC di Vietnam. Kalau lihat di Youtube pun macam kurang dia (Joao Pedro) ni, banyak gol dari tandukan saja. Risau kena scam takut jadi Neto Pessoa dan (Jose) Embalo,” luah Syahrul Zam di ruangan komen Facebook Sabah FC.
Hasil semakan di laman Transfermarkt, sepanjang karier profesional Joao Pedro, pemain ini sudah beraksi 31 perlawanan dengan hanya tiga jaringan berjaya dihasilkan.
Mungkin penyokong melihat sejarah jaringan Joao Pedro yang sedikit itu menimbulkan kerunsingan di kalangan penyokong. Namun jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee pasti ada sebab tersendiri untuk membawa masuk Joao Pedro bagi memperkuatkan pasukan.
Sabah kini menghuni tangga ke-4 Liga Super dengan mengumpul 13 mata selepas mengharungi 8 perlawanan. Kelibat Joao Pedro dijangka bakal digunakan bagi aksi liga seterunsya menentang Terengganu FC pada 15 September depan.