Hasrat Sri Pahang FC mencari penyerang baru sebagai sokongan kepada Kpah Sherman akhirnya tercapai hari ini. Ini selepas penyerang Brazil, Rafael Silva sah menyertai skuad Tok Gajah.
Pengumuman perpindahan dibuat Sri Pahang FC menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini. Ia turut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Kelab berbesar hati mengumumkan telah menandatangani khidmat Rafael Feital da Silva bagi mngharungi baki saingan Liga Malaysia 2023.
“Pemain berusia 32 tahun dari Brazil ini, didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka bermula hari ini dan bakal menjadi taruhan terbaharu Fandi Ahmad bagi memperkasa barisan serangan,” kata pihak pengurusan.
Silva boleh beraksi di bahagian sayap atau sebagai pemain tengah menyerang. Kepelbagaian ini sudah pasti membantu Fandi mengatur taktikal perlawanan pasukan mengikut kesesuaian.
Silva dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama Sri Pahang FC. Ini kerana beliau pernah menyarung jersi kelab Indonesia, Barito Putra sebanyak dua kali iaitu pada musim 2019 dan 2021-2023.
Dalam dua tempoh tersebut, Silva menjaringkan 28 gol sekaligus menjadi pujaan penyokong Laskar Antasari. Ramai menjangkakan beliau bakal menggantikan Lucas Silva sebagai sokongan kepada Kpah.