Bekas bintang Real Madrid, Mariano Diaz masih lagi belum mendapat kelab dengan tahun 2024 semakin menghampiri penghujung.
Nama Diaz mula dikenali selepas menyertai pasukan remaja Los Blancos pada 2012. Sejak itu, penyerang Republik Dominica itu tidak menoleh ke belakang dan meraih 84 penampilan bersama mereka.
Selain Real Madrid, Diaz juga pernah beraksi untuk kelab Perancis, Olympique Lyon dan satu lagi kelab La Liga, Sevilla. Beliau hanya merekodkan 13 penampilan dalam semua kejohanan untuk Los Rojiblancos sebelum dilepaskan pada akhir musim 2023/24.
Keadaan ini berlaku disebabkan isu kecederaan yang dihadapinya sebelum ini. Ini menyebabkan Diaz sukar mendapat minit permainan yang konsisten.
Sejak itu, ramai tertanya-tanya destinasi pilihan Diaz yang seterusnya. Sebelum ini, beliau menerima tawaran daripada beberapa kelab dari Sepanyol, Portugal, Turkiye dan Asia mengikut laporan akhbar AS.
Walau bagaimanapun, semua tawaran tersebut ditolak atas alasan penyerang berusia 31 tahun itu mahukan sesuatu yang lebih. Walau apa pun pilihan yang dibuat Diaz, beliau harus bertindak segera.
Ini kerana nilainya semakin merudum di pasaran perpindahan. Mengikut maklumat terkini Transfermarkt, Diaz kini bernilai €1.2 juta (RM5.6 juta) berbanding €22 juta (RM104 juta) pada 2018.