Penyerang berbisa Thailand, Supachai Chaided muncul penjaring terbanyak Thai League 1 untuk musim 2023/24.
Supachai meraih anugerah Kasut Emas selepas merekodkan 21 gol dalam liga. Beliau mengatasi cabaran penyerang Bangkok United, Willen Mota yang menyumbat 20 gol musim ini.
Ini kali kedua berturut-turut penyerang berusia 25 tahun itu meraih gelaran Kasut Emas Thai League 1. Lebih manis, beliau mengatasi cabaran lima penyerang Brazil dalam senarai penjaring terbanyak.
Selain Mota, Supachai mengatasi cabaran Willian Popp (Muanthong United), rakan sepasukan Guilherme Bissoli, Ricardo Santos (Uthai Thani) dan Willian Lira (Chonburi).
Sementara Teerasak Poeiphimai menjadi penjaring kedua terbanyak tempatan di belakang Supachai dengan 15 gol.
Berdasarkan data Transfermarkt, beliau meledakkan satu hatrik yang direkodkan semasa perlawanan terakhir liga menentang Khon Kaen United pada Ahad lepas.
Walau bagaimanapun, rekod ini tidak diteruskan dalam kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24. Daripada lima perlawanan yang disertai Supachai bersama Buriram, beliau gagal menjaringkan sebarang gol.
Yang pasti, bisanya dijangka ditagih jurulatih Thailand, Masatada Ishii. Ini selepas namanya tersenarai dalam senarai 27 pemain yang dipanggil untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Singapura dan China.
Selain Supachai, Ishii turut memanggil Teerasak, Teerasil Dangda, Suphanat Mueanta dan Poramet Arjvirai untuk mengepalai jentera serangan skuad Gajah Perang.