Penyokong Dedah Punca Subkhiddin Tak Berani Jejak Kaki di Kota Bharu
Trivia
Utusan Malaysia
Advertisements

Subkhiddin Mohd Salleh merupakan seorang daripada beberapa pengadil yang cukup dikenali dan disegani penyokong bolasepak tanah air.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM yang berpengalaman luas dalam dunia pengadilan itu kini merupakan Instruktor Teknikal FIFA serta Ketua Instruktor Pengadil Persatuan Bolasepak Korea Selatan.

Beliau akan turut bertugas di Piala Dunia Qatar 2022 yang bermula minggu depan, di mana tanggungjawabnya termasuklah merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang pertandingan.

Advertisements

Di dalam perjalanan karier pengadilan Subkhiddin yang juga merupakan bekas guru sekolah, pastinya pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis ditempuhi.

Seorang penyokong setia Kelantan, Nik Mohd Sallehuddin Nik Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Po’Nique Sallehudin berkongsikan satu peristiwa yang berlaku pada 2003, yang menurutnya menjadi sebab mengapa Subkhiddin tidak lagi berani menjejakkan kaki ke Kota Bharu selepas itu untuk mengadili perlawanan.

Menurutnya insiden berlaku ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia tahun tersebut di antara Kelantan dan Kedah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV yang berkesudahan tuan rumah kecundang 1-2 disebabkan kesilapan Subkhiddin.

Advertisements

“Pada perlawanan itu, Kedah skor gol pertama tetapi Kelantan ikat balik kedudukan 1-1 menerusi Akmal Tabrani. Selepas itu Akmal Rizal menjaringkan gol kedua Kedah, bagaimanapun pertahanan Kelantan protes gol itu kerana ofsaid namun Subkhiddin tetap mengesahkan gol tersebut,

“Pemain import, Martin Adamec berang dengan Subkhiddin, dan natijahnya dia dilayangkan kad merah. Dah la membenarkan gol ofsaid, bagi pula kad merah kat pertahanan Kelantan.

“Ini menyebabkan penyokong turut naik angin, sehinggakan salah seorang panjat pagar masuk ke dalam padang untuk menyerang Subkhiddin. Bagaimanapun keadaan dapat ditenangkan oleh pihak polis, penyokong itu berjaya melarikan diri.

Advertisements

“Kemudian sewaktu rehat separuh masa pertama, Presiden KAFA waktu itu (Wan Hashim) turun ke trek memarahi pengadil kerana membenarkan jaringan ofsaid dan layangan kad merah kepada Martin, sampaikan polis terpaksa escort Subkhiddin masuk ke bilik persalinan.

“Selepas tamat perlawanan, penyokong tunggu pengadil di luar stadium sebab tak berpuas hati, malah cermin bas pasukan Kedah dibaling batu dan dipecahkan,” kata Po’Nique mengimbau insiden tersebut.

Tambahnya, itu adalah kejadian kedua penyokong masuk ke dalam padang untuk menyerang pengadil selepas kejadian pertama pada 1993.

Advertisements

“Kejadian 1993 penyokong mahu menyerang pengadil bernama Jamil Zakaria tapi ditangkap FRU. Hashim Mustapha berjumpa dengan FRU dan meminta tidak bertindak kasar kepada penyokong itu kerana bimbang ia akan menaikkan lagi kemarahan penyokong,” tambahnya.

Di sebalik apa yang pernah berlaku kira-kira dua dekad yang lalu, Kelantan pada hari ini boleh berbangga mempunyai penyokong yang lebih profesional dan berdisiplin, dan disifatkan antara terbaik dalam negara.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram