Pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck akhirnya berjaya mendapat kerakyatan Malaysia selepas melalui satu proses naturalisasi yang agak panjang. Proses tersebut juga menidakkan Lee Tuck untuk tampil dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Lee Tuck sangat disayangi oleh penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan selepas pemain berusia 34 tahun sentiasa memberikan segalanya di atas padang. Lee Tuck juga kerap kali memakai lilitan kapten buat pasukan Terengganu sebelum ini.
Namun begitu, segelintir peminat bola sepak negara menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan Lee Tuck kini yang sudah lama tidak beraksi dalam saingan kompetitif.
Tinjauan yang dibuat di laman instagram rasmi Lee Tuck, beliau sentiasa cuba mengekalkan kecergasan dengan melakukan latihan tambahan secara sendirian. Namun bagi sesetengah penyokong, mereka risau dengan umur pemain dari England itu.
Dengan umur 34 tahun Lee Tuck, berkemungkinan khidmat Lee Tuck mampu digunakan hanya untuk tempoh dua ke tiga tahun sahaja. Mereka juga berharap Lee Tuck tidak menjadi seperti pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang gagal memberikan impak ketika beraksi untuk skuad negara.