Advertisements
Penyokong Iran Berpusu-Pusu ‘Kejar’ Cristiano Ronaldo
ACL
MakanBola
Al-Nassr FC

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi tumpuan warga Iran selepas tiba bersama kelabnya, Al-Nassr di negara itu semalam.

Al-Nassr tiba di Tehran untuk aksi pembukaan Kumpulan E menentang Persepolis awal pagi esok. Dan seperti dijangka, nama Ronaldo menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak Iran.

Akaun X Al-Nassr menunjukkan penyokong berpusu-pusu mengejar bas pasukan mereka. Disebabkan sambutan luar jangka ini, sesi latihan yang sepatutnya diadakan selepas itu terpaksa dibatalkan.

Begitupun, suasana ini dijangka tidak akan dirasai di stadium keramat Persepolis, Stadium Azadi. Ini kerana perlawanan Al-Nassr-Persepolis malam ini diadakan tanpa kehadiran penonton.

Akhbar Daily Mail melaporkan The Red Army perlu menjalani hukuman satu perlawanan tanpa kehadiran penonton yang ditetapkan AFC.

Ini susulan satu hantaran media sosial kelab itu yang dikatakan menghina India sebelum perlawanan menentang FC Goa pada musim 2021-2022.

Disebabkan Persepolis tidak layak ke ACL pada musim lepas, hukuman ini perlu dijalani pada awal pagi esok. Hukuman ini sedikit sebanyak memberi kerugian kepada Persepolis dari segi pendapatan hari perlawanan lebih-lebih lagi dengan kehadiran legenda dunia di Stadium Azadi.

Perlawanan awal pagi esok juga signifikan kerana Al-Nassr menjadi kelab Arab Saudi pertama beraksi di Iran dalam tempoh tujuh tahun. Ini susulan tindakan Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran pada 2016 sebelum ia dipulihkan dengan bantuan China pada Mac lalu.