Kekecohan telah berlaku sebelum sepak mula perlawanan kedua Piala Harapan yang menemukan pasukan Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan malam ini.
Penyokong Kedah yang dilihat beratur panjang untuk mendapatkan tiket fizikal bagi menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka itu, akhirnya hilang sabar dan meluahkan kehampaan apabila tiket yang dijual di kaunter telah pun habis dijual.
Sekumpulan penyokong yang marah dengan situasi tersebut sempat menyanyikan lagu khas ‘Takdak Tiket’ yang memberi maksud tiket sudah habis dijual. Nyanyian tersebut bergema di stadium selepas turut dinyanyikan oleh ramai penyokong yang beratur di hadapan kaunter.
Video yang telah pun tular di media sosial itu menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air. Namun begitu, Penang FC yang menjadi tuan rumah Piala Harapan telah mengambil inisiatif untuk menyediakan 1000 tiket tambahan bagi memenuhi kehendak penyokong yang hadir.
Piala Harapan yang dianjurkan oleh Penang FC itu melibatkan empat pasukan iaitu Penang, Selangor, KDA FC dan kelab Singapura, Geylang International FC. Perlawanan pertama yang melibatkan Penang dan Geylang berkesudahan memihak kepada Penang dengan keputusan 4-0.