Advertising
Penyokong Malaysia Diserang Di Thailand, Ada Dibawa Ke Hospital
Harimau Malaya
MakanBola
Main Stand

Aksi ASEAN Championship 2024 antara Malaysia dan Thailand semalam dicemari dengan insiden penyokong negara diserang di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Insiden penyokong Malaysia diserang penyokong kasual Thailand berlaku tidak lama selepas tamat perlawanan antara Harimau Malaya dan Gajah Perang.

Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan seorang penyokong Malaysia dipukul beramai-ramai penyokong kasual Thailand selama 15 minit sebelum dibantu penyokong Thailand lain.

Ad

Insiden ini menyebabkan penyokong tersebut dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Sebaik mengetahui insiden berkenaan, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) segera menghantar wakil ke hospital untuk membantu penyokong Malaysia yang terkesan.

Ad

“Seorang penyokong negara di kejarkan ke hospital kerana hentakan di kepala. Mangsa dipukul beramai-ramai lebih kurang 15 minit oleh penyokong kasual Thailand sebelum penyokong Thailand yang lain datang bantu.

“Wakil FAT turut berada di hospital hingga selesai pemeriksaan dan membayar segala kos rawatan (penyokong berkenaan),” katanya di X.

Ad
Ad

Insiden tersebut menyebabkan pihak berkuasa Thailand memilih memisahkan penyokong kedua-dua pasukan. Mereka turut bertindak menyuraikan penyokong Thailand terlebih dahulu sebelum mengiringi Ekor Harimau Malaya keluar.

Ad

Penyokong Harimau Malaya kemudiannya menaiki bas yang disediakan pihak berkuasa Thailand bagi membolehkan mereka meninggalkan stadium.

Ini bukan kali pertama penyokong Malaysia diganggu penyokong kasual Thailand. Pemerhati bola sepak negara, Piang Shankly memaklumkan perkara sama pernah terjadi dalam saingan ASEAN Championship 2022.

“Budaya penyokong kasual di arena bola Siam semakin menjadi-jadi sejak dua tahun lepas. AFF 2022 dulu, ada penyokong kita yang sudah kena provokasi dan kacau. Kali ini lebih keras dan kasar,” katanya di X.

Malaysia tewas 1-0 kepada Thailand menerusi gol Patrik Gustavsson. Keputusan ini meletakkan Harimau Malaya di tangga ketiga Kumpulan A di belakang Thailand dan Singapura.